Thursday, 3 November 2011

salam aidiladha buat umat islam seluruhnya : persoalan tentang ibadah korban





Korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Hukum menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Eidul Adha atau Hari Raya Korban ke atas umat Islam yang mampu ialah sunat muakkad dan meninggalkannya adalah makruh.
Allah S.W.T berfirman;

“Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah”. - Surah al-Kautsar: ayat 2

Mengikut tafsiran ulama maksud solat atau sembahyang pada ayat ini ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban

Dalil yang mensyariatkan ibadah korban ialah firman Allah S.W.T.;
“Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah”. - Surah al-Kautsar, ayat 2. Maksud solat ataupun sembahyang pada ayat ini ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban. Imam Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut seperti berikut:
“Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah semata dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripada-Nya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai tanda syukur terhadap apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya”.

Banyak sekali hadis yang menerangkan akan kelebihan korban, ia antara ibadah yang mendapat ganjaran yang amat besar daripada Allah. Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.” Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim.

Hikmah sebenar sesuatu ibadah hanya Allah S.W.T. sahaja yang tahu. Walau bagaimanapun ibadah korban yang menjadi amalan umat Islam sekarang mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan peristiwa korban di antara Nabi Ibrahim A.S. dengan anaknya Nabi Ismail A.S. Maka dengan melihat kepada peristiwa tersebut beberapa hikmah dapat disimpulkan;

1. Ia menguji kekuatan iman dan keteguhan mental orang yang berkorban.
2. Supaya orang yang berkorban dapat menjauhkan diri daripada sifat terlalu sayangkan harta dan kedekut dengan harta yang Allah S.W.T kurniakan kepadanya.
3. Berkongsi merasai nikmat Allah S.W.T dengan golongan yang kurang bernasib baik atau miskin.
4. Membudayakan dalam masyarakat salah satu syiar Islam iaitu berkorban.


Mengikut riwayat yang boleh kita perolehi amalan ibadah korban telah dilaksanakan dari zaman Nabi Adam A.S lagi sehingga zaman Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. Secara ringkasnya sejarah perlaksanaannya adalah seperti berikut;

Pada zaman Nabi Adam A.S, peristiwa korban Habil dan Qabil menunjukkan betapa korban memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan hidup manusia. Kisah mereka telah dinukilkan di dalam al-Quran surah al-Maidah, ayat 27.
Maksud Ayat: “Dan bacakanlah kepada mereka berita tentang dua anak Adam iaitu Habil dan Qabil dengan benar, ketika anak Adam itu mempersembahkan korbannya, maka Allah menerima korban salah seorang dari keduanya iaitu Habil dan tidak diterima korban yang seorang lagi iaitu Qabil. Qabil berkata: Aku pasti membunuhmu? Habil berkata: “Sesunguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa”.

Pada zaman Nabi Nuh A.S pula, setelah peristiwa taufan berlaku, Nabi Nuh menyediakan satu tempat khas untuk korban. Ada riwayat yang mengatakan bahawa haiwan korban tersebut dibakar.

Manakala pada zaman Nabi Ibrahim A.S, korban bermula dengan roti dan sebagainya, kemudian anak sapi, kambing dan biri-biri. Peristiwa penyembelihan anak Nabi Ibrahim iaitu Nabi Ismail ialah ujian pengorbanan yang paling getir dihadapi oleh Nabi Ibrahim A.S. Kisah ini telah Allah rakamkan dalam al-Quran surah Ash-Shaffat, ayat 103-107.

Pada zaman Nabi Musa A.S, cara korban ialah dengan membahagikan binatang yang disediakan untuk korban kepada 2 bahagian, sebahagian dilepaskan dan sebahagian lagi disembelih.

Budaya dan amalan berkorban ini berterusan sehingga ke zaman bangsa Yunani dan Rumani, pada umumnya mereka membahagi-bahagikan daging korban kepada orang yang hadir. Semasa upacara penyembelihan, pendeta mereka memercikkan madu dan air, kemudian madu diganti dengan air mawar. Adat ini terdapat sampai sekarang. Di samping bangsa Yunani, korban dengan melakukan penyembelihan terhadap manusia juga berlaku, ini dilakukan oleh bangsa Finiki, Parsi, Rom dan bangsa Mesir kuno.

Pada hari raya korban kita disunatkan menyembelih haiwan korban, begitu juga pada hari ketujuh kelahiran seorang anak, kita dituntut melaksanakan aqiqah untuknya, jadi apabila bertemu hari raya korban bertepatan dengan hari ketujuh kelahiran anak, maka mengikut pandangan ulama mazhab Hanbali, kita boleh gabungkan niatkan perlaksanaan korban tersebut dengan niat untuk aqiqah anak, seperti mana jika bertemu hari Jumaat dengan Hari Raya, maka saudara boleh niatkan mandi sunat keduanya dengan sekali mandi sahaja.

Menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Korban dianjurkan ke atas seluruh umat Islam, akan tetapi tuntutan sebenar ialah kepada yang mampu, sehingga Rasulullah S.A.W memberi amaran dalam beberapa buah hadis kepada mereka yang tidak menunaikan ibadah korban, antara hadis tersebut ialah;
Maksud hadis, “Sesiapa yang mempunyai kelapangan (mampu), tetapi tidak berkorban, janganlah ia mendekati tempat solat kami.”

Korban yang diamalkan oleh seluruh umat Islam pada setiap tahun diniatkan hanya kerana Allah S.W.T, dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T di samping mendapat ganjaran lain yang telah Allah S.W.T janjikan.. Oleh itu, mana-mana korban atau penyembelihan yang diniatkan kepada selain Allah S.W.T, seperti korban yang dilakukan untuk memuja sesuatu, atau untuk tujuan ilmu hitam, memuja syaitan dan sebagainya, serta tidak bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dan ganjaran yang disediakan, maka ia adalah dilarang oleh Islam. Wallahualam




No comments: